Bukan gaji pilihan raya – Abdullah

TOKYO 22 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kenaikan gaji kakitangan awam yang diumumkan semalam tidak ada kaitan dengan pilihan raya umum.

Menurut beliau, kerajaan telah lama menimbangkan permintaan untuk menaikkan gaji kakitangan awam tetapi tidak dapat membuat keputusan sebelum ini kerana ketika itu kerajaan tidak mempunyai kemampuan kewangan.

“Apa yang kita buat untuk sektor awam adalah sesuatu yang mereka perlukan. Dulu bila mereka minta, kita tidak ada duit nak beri. Sekarang kita mampu, maka kita berilah. Buat apa nak tunggu lagi,” kata Abdullah pada sidang akhbar dengan wartawan Malaysia di sini hari ini.

Perdana Menteri yang sedang melawat Jepun menegaskan, kerajaan bukan bekerja untuk pilihan raya tetapi demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat.

Di Putrajaya semalam sebelum beliau berlepas ke Tokyo, Abdullah mengumumkan kenaikan gaji kakitangan awam yang disifatkan sebagai yang ‘terbaik dalam sejarah perkhidmatan awam’.

Kakitangan kerajaan diberi kenaikan gaji antara 7.5 hingga 35 peratus berkuat kuasa 1 Julai ini dengan kadar 7.5 peratus untuk pegawai Pengurusan Tertinggi, 15 peratus (Pengurusan dan Profesional), 25 peratus (Sokongan 1) manakala kumpulan Sokongan 2 menikmati kenaikan gaji 35 peratus.

Bagi anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia pula, mereka menerima durian runtuh yang lebih istimewa iaitu kadar kenaikan gaji antara 9 hingga 42 peratus, iaitu 20 peratus lebih tinggi daripada peratus kenaikan gaji kakitangan awam lain.

Selain pemberian kenaikan gaji pokok, kerajaan turut mengumumkan kenaikan Elaun Kos Sara Hidup (COLA) sebanyak 100 peratus bagi menampung kos hidup kakitangan awam yang tinggal di bandar-bandar besar.

Pesara-pesara kerajaan juga menikmati kenaikan pencen yang sama dengan peratusan kenaikan gaji kakitangan awam mengikut kategori perkhidmatan masing-masing.

Abdullah menyindir tindakan parti-parti pembangkang yang cuba mengaitkan keputusan menaikkan gaji kakitangan awam dengan tarikh pilihan raya umum yang kononnya semakin dekat.

“Apa yang kita buat, kalau ia nampak baik sikit, semuanya dikatakan untuk pilihan raya. Seolah-olah kita ini bekerja untuk pilihan raya.

“Kita bekerja untuk pembangunan negara dan jangka masa yang kita ambil memang untuk jangka masa panjang,” tegasnya.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan berusaha untuk merealisasikan matlamat Wawasan 2020 dan objektif itu pasti dapat dicapai jika rakyat terus bersama menyokong kerajaan Barisan Nasional.

“Apa yang kita buat adalah yang baik, elok dan menguntungkan rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, kenaikan gaji yang diberikan kepada kakitangan awam mulai 1 Julai ini adalah pemberian terbaik yang mampu dilakukan oleh kerajaan.

Menjawab satu soalan, Abdullah berkata, sektor swasta boleh menimbangkan kenaikan gaji untuk para pekerja mereka jika masing- masing mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian.

Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak mempunyai hak untuk meminta pihak swasta turut menaikkan gaji pekerja mereka, tetapi syarikat-syarikat swasta digalakkan mencontohi langkah kerajaan jika ada kemampuan.

“(Pihak swasta) mesti ada kemampuan. Kerajaan buat macam tu (naikkan gaji kakitangan awam) sebab kerajaan mampu,” katanya.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: